Saya kembali menulis, setelah sebulan berlalu. Syukur Alhamdulillah. Sebulan yang berlalu, saya isi dengan pembacaan beberapa buku di samping jadual aktivisme yang agak padat, tambahan lagi musim peperiksaan yang sedang hidup di kampus Darul Quran. Dalam sebulan itu juga, saya sempat berdiskusi mengenai dinar emas bersama-sama beberapa teman yang lain di Petaling Jaya, iaitu kira-kira seminggu sebelum peperiksaan bermula. Diskusi yang sangat penting dan menarik, cuma isu dan pengetahuan mengenai dinar emas masih terpencil dalam benak kebanyakan mahasiswa dan masyarakat umum. Pada waktu itu juga, sahabat saya sejak di bangku sekolah menengah iaitu Hasbullah telah meminjamkan saya magnum opus Niccolo Machiavelli iaitu The Prince. Sebuah buku kontroversi yang telah menghangatkan pentas intelektualisme dan lebih-lebih lagi dunia politik.
Saya selalu memperingatkan kepada teman-teman saya mengenai peperiksaan tidak seperti yang diperingatkan oleh sesetengah pihak yang telah disuntik jarum exam oriented. Saya mengatakan bahawa kita mesti berhati-hati dengan sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan lantaran ia berupaya meragut intelektual dan memandulkan cara kita berfikir. Kita mesti bersungguh-sungguh untuk mendapat keputusan terbaik dalam peperiksaan, tapi jangan sampai kita tertipu dengan ‘kecemerlangan’ kita di atas kertas sedangkan kita sendiri menyedari sejauh mana sangat kefahaman dan ketajaman kita dalam sesuatu subjek. Nota-nota yang dihafal akan luput begitu sahaja dari ingatan, kelas yang dihadiri hanya untuk memastikan kehadiran ke kuliah, bukan lagi sebagai tempat menuntut ilmu. Oleh itu, majlis-majlis ilmu dan buku-buku yang lain akan dipinggirkan begitu sahaja disebabkan ia tidak diperlukan untuk menggapai gilang dalam peperiksaan. Itu pesanan saya.
Meneruskan pembacaan>>
1 comment:
Ass.wr.wb.salam kenal dan terima kasih sobat atas ilmu dan wacananya, mantap...!
Post a Comment