Sunday 17 October 2010

DUNIA BARU ISLAM

Friday 8 October 2010

Pasca Konsert NGC - Kenyataan Rasmi dari Rakan Masjid UTP

Assalamualaikum w.b.t.

Islam adalah agama yang syumul. Maksud syumul disini adalah Islam mempunyai jawapan kepada setiap persoalan dalam kehidupan. Justeru, setiap permasalahan yang berlaku hendaklah dirujuk kembali kepada Islam. Dari meja kepimpinan Rakan Masjid UTP sendiri, kami sentiasa mempercayai bahawasanya Islam adalah agama yang mampu menyelesaikan setiap perkara. Bukan sahaja dari sudut ibadah, Islam juga menyediakan jawapan kepada segala pemasalahan dalam realiti kehidupan kita pada hari ini.

Pertama-tamanya, sekalung penghargaan diucapkan kepada pihak Green Concert kerana telah mencuba untuk menjadikan agama Islam sebagai penyelesaian dalam semua permasalahan. Kami juga ingin berterima kasih kepada pihak Green Concert kerana sanggup berdiskusi bersama pihak Rakan Masjid UTP dan mencuba sedaya upaya untuk memenuhi perjanjian yang telah dipersetujui bersama.

Daripada pihak Rakan Masjid, kami melihat perjalanan konsert yang dianjurkan oleh pihak komiti NGC pada kali ini boleh dibanggakan. Pertama; tema yang digunakan adalah bersesuaian sekali dengan permasalahan kehidupan pada hari ini. Disamping memberi kesedaran, tema kehijauan yang digunakan juga mampu mendidik penonton supaya lebih mengambil berat akan alam sekitar. Selain itu,pemisahan tempat duduk antara lelaki dan perempuan disamping menampilkan hanya vokalis lelaki merupakan satu penambahbaikan yang harus dipuji dan diberi penghargaan oleh semua pihak. Pembaharuan seperti inilah yang amat diharapkan oleh pihak Rakan Masjid UTP. Kami sangat mengharapkan agar penganjuran Green Concert ini dapat menjadi rujukan kepada jawatankuasa program yang lain dalam melaksanakan sebarang program terutamanya yang berkaitan dengan program hiburan.

Walaupun begitu, masih terdapat beberapa penambahbaikan yang boleh diusahakan dalam menjadikan penganjuran konsert ini lebih cemerlang. Daripada pihak kami, kami mencadangkan agar lagu yang dipilih tidaklah terlalu keras. Hal ini demikian kerana, hadirin yang datang pada hari itu bukan sahaja dari kalangan pelajar tetapi melibatkan pihak luar yang membawa sekali anak-anak kecil mereka. Dibimbangi anak-anak kecil ini akan terpengaruh dengan suasana sekitar dan terdidik dengan suasana kekerasan.

Selain itu, kami juga mencadangkan agar semua peserta yang membuat persembahan dapat menutup aurat sebelum dibenarkan keluar ke pentas. Hal ini demikian kerana, perintah menutup aurat adalah satu kewajipan yang pasti dan tiada pertelingkahan ulama’ mengenainya. Justeru, memastikan setiap peserta persembahan untuk menutup aurat adalah wajib dan perlu diberi penekanan selepas ini. Walau bagaimanapun, kami memuji kesungguhan pihak jawatankuasa NGC kerana berusaha sedaya upaya dalam hal ini dan pihak Rakan Masjid sendiri telah berusaha berdakwah secara individu. Namun apakan daya, hidayah itu adalah milik Allah s.w.t.

Akhir kalam, kami mengharapkan agar semua pihak dapat menjadikan green concert sebagai panduan awal sebelum menganjurkan sebarang program berbentuk hiburan. Walaupun tidaklah sempurna seperti mana yang dikehendaki syarak secara total, tetapi ini adalah satu permulaan yang baik. Mengambil kaedah feqah, "kalau tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua", konsert ini menepati pertimbangan semasa waqi' kampus UTP. Rata-rata yang hadir juga berpuas hati dengan pennganjuran konsert ini. Maka jelaslah bahawa sememangnya ada ruang dan peluang untuk kita saling memahami antara satu sama lain walaupun berbeza budaya dan agama. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak jawatankuasa konsert yang bersusah payah memastikan resolusi yang disepakati sebelum ini berjaya dilaksanakan. Untuk akhirnya, tahniah kepada jawatankuasa Green Concert atas penganjuran konsert yang cemerlang.

Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam,
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.