Friday 31 December 2010

Diari ekonomi 2010: Kebimbangan terhadap ketidakstabilan di Timur Tengah dan juga Asia Tengah

Melihat kepada perkembangan semasa, perkara yang ditakuti kebanyakan pemerhati politik menjelang tahun baru adalah krisis yang berlaku antara Pyongyang dan juga Seoul. Persengketaan yang tercetus semakin menjadi-jadi apabila kedua-dua negara cuba membakar api persengketaan dengan melakukan persediaan ketenteraan tatkala krisis antara kedua-dua negara semakin bergolak. Dengan Pyongyang dikatakan mendapat sokongan dan pengaruh daripada rejim komunis di China, Seoul pula mendapat sokongan padu White House yang menjadikan krisis yang berlaku ini semakin rumit. Kebimbangan Amerika Syarikat dengan perkembangan ekonomi serantau Asia terutamanya China menjadikan krisis antara Pyongyang dan Seoul dilihat pemerhati sebagai permusuhan diantara dua kuasa ekonomi dunia.

Perkembangan yang berlaku di Timur Tengah juga bukanlah satu perkara yang begitu menarik di penghujung tahun 2010 bagi pemerhati politik. Keberjayaan Iran untuk menghasilkan sebatian uranium yang tersendiri membolehkan negara teluk itu tidak perlu lagi bergantung kepada import negara luar untuk menghasilkan tenaga nuklear bagi menjana kuasa elektrik di negara tersebut. Situasi ini memberi tekanan kepada White House untuk mendesak dalam memastikan Iran tidak dibenarkan dalam menggunakan tenaga nuklear yang dilaporkan akan menggunakan tenaga nuklear tersebut untuk tujuan ketenteraan. Ketakutan yang ketara jelas terpancar daripada pentadbiran di White House walaupun Iran sudah berkali-kali menegaskan pengayaan tenaga uraniumnya adalah semata-mata untuk penjanaan tenaga elektrik. Ketakutan tidak berasas inilah yang menjadikan pergolakan di Timur Tengah kemungkinan akan berakhir dengan satu lagi episod peperangan selepas Afghanistan pada tahun 2001 dan Iraq pada tahun 2003.

Krisis yang berlaku di kedua-dua tempat memberi kesan secara langsung kepada ekonomi dunia. Dengan Iran merupakan pengeluar minyak kelima terbesar didunia; peperangan di Iran akan menyebabkan harga minyak melambung tinggi sekaligus memberi kesan kepada harga barang asas yang lain. Statistik jelas menujukkan bahawasanya selepas sahaja peperangan di Iraq pada tahun 2003 sehingga kini, harga minyak telah naik secara mendadak sebanyak lima kali. Kedudukan Iraq hanyalah ditempat ke-12 dalam senarai pengeluar minyak terbesar dunia. Bayangkan sekiranya Iran diserang, berapa kali gandakah harga minyak akan meningkat, dan berapakah kadar inflasi semasa dalam negara yang akan ditanggung oleh seluruh rakyat di serata dunia.

Persengketaan antara dua negara jiran Korea sebenarnya tidaklah memberi kesan yang besar kepada keadaan semasa ekonomi dunia. Namun sekiranya perang dingin antara kedua-dua negara jiran itu benar-benar berlaku. Malaysia akan menerima impak yang agak besar kerana nilai eksport negara terhadap negara Korea bernilai lebih 20 billion setahun yang menjadikan Korea sebagai destinasi eksport ketujuh terbesar bagi negara Malaysia. Peperangan bermaksud nilai eksport negara akan merosot secara mendadak dan mengakibatkan ekonomi negara akan terjejas dengan teruk. Hal ini diburukkan lagi dengan ketirisan wang akibat daripada penyelewengan daripada pentadbiran yang sedia ada sehingga dianggarkan hampir 30 billion wang negara dibazirkan kepada perkara-perkara yang tidak sepatutnya.

Keamanan adalah kunci kepada percambahan ekonomi dunia. Perkembangan yang stabil dalam ekonomi dunia membolehkan Malaysia mencatat pertumbuhan yang memberangsangkan dalam ekonomi serantau dan membolehkan Malaysia untuk mengukuhkan lagi kedudukan ekonomi semasa. Itupun sekiranya tidak berlaku penyalahgunaan wang oleh pihak tertentu dalam pentadbiran. Keamanan juga bermaksud perolehan dalam negara akan dapat ditingkatkan. Ketidakstabilan politik boleh menyebabkan huru-hara yang melampau dan menyebabkan perniagaan domestik tidak dapat dipacu dengan baik.

Namun begitu, keamanan tidaklah bermaksud rakyat tidak boleh berdemonstrasi. Demonstrasi diperlukan untuk menyatakan suara rakyat secara terus kepada pemerintah. Peningkatan harga barang, kenaikan harga minyak, ketirisan wang dalam pentadbiran serta penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa memerlukan rakyat untuk bersuara bagi memastikan kepentingan mereka terpelihara. Hak yang terpelihara inilah yang membuka peluang kepada rakyat untuk meraih kelebihan hasil keamanan global pada masa kini. Sekiranya perkara ini tidak diambil berat, dikhuatiri kelebihan hasil keamanan ini akan dibolot oleh segolongan individu berpengaruh sahaja.

Isu Palestin juga menjadi sorotan terpenting dalam diari kalendar 2010. Dengan keberangkatan rombongan kapal Mavi Marmara, komitmen yang ditunjukkan seluruh negara terlibat menunjukkan kesatuan untuk memastikan keamanan sejagat begitu diberikan perhatian pada tahun ini. Keadaan ini tercetus bilamana ramai pemerhati merasakan isu ini harus diperjuangkan dengan bersungguh-sungguh. Mereka tidak sanggup lagi untuk menerima tempias akibat peperangan terutamanya selepas kejatuhan ekonomi global akibat siri-siri peperangan yang tidak menentu. Dari meja penulis, penulis mengharapkan keamanan dapat dicapai di Palestin dengan keluarnya Israel daripada tanah Palestin.

Untuk akhirnya, keamanan hanya dapat dicapai melalui toleransi agama dan budaya. Tanpa toleransi, pergaduhan akan tercetus dimana-mana sahaja. Kepelbagaian budaya dan agama menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang memerlukan toleransi antara kaum. Sikap terlalu mementingkan diri dan kaum harus dielakkan terutamanya dalam era globalisasi yang memerlukan seluruh tenaga untuk bersatu dalam menjana pertumbuhan ekonomi yang mapan.

Harith Hasyimi bin Hishamudin
Pelajar Jurusan Sistem Maklumat Perniagaan
Universiti Teknologi PETRONAS.

Artikel diatas merupakan pandangan penulis semata-mata dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana individu tertentu. Sebarang komen amatlah dialu-alukan.
Sumber:
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/keuntungan-petronas-susut-24.5-peratus/
https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/rankorder/2173rank.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Pertubuhan_Negara-negara_Pengeksport_Petroleum
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Ekonomi&pg=ek_01.htm
Buku Jingga – Pakatan rakyat

Sunday 26 December 2010

Angka-Angka Ajaib

4.7% purata pertumbuhan ekonomi 2001 – 2005, sedangkan sasaran adalah 7.5%.

4.2% purata pertumbuhan ekonomi 2006 – 2010, sedangkan sasaran adalah 6%.

KDNK negara adalah lebih kecil dari KDNK Singapura bermula dari tahun 2009, kali pertama dalam sejarah ia berlaku.

325 bilion ringgit wang PETRONAS diambil antara tahun 2007 hingga 2010. Ini bermakna purata setahun adalah 81.25 billion ringgit.

53.3% adalah kadar hutang negara berbanding KDNK dalam tahun 2009, melonjak naik berbanding kadar 35.1% dalam tahun 1998.

3 kali ganda peningkatan perbelanjaan kerajaan yang ditampung oleh wang PETRONAS dan hutang, dari RM68 bilion (1998) kepada RM214 bilion (2010).

Malaysia jatuh 26 anak tangga dalam indeks integriti institusi awam dalam laporan Daya Saing Global oleh World Economic Forum dari tahun 2007 ke 2009

2.6% purata kenaikan gaji rakyat Malaysia antara tahun 2000 – 2010, berbanding 3.2% purata kenaikan gaji dunia (termasuk negara-negara miskin).

4% penurunan kuasa beli pengguna jika dibandingkan nisbah gaji dan inflasi antara tahun 1990 dan 2009.

40% dari rakyat Malaysia berada dalam lingkungan isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM1,500 sebulan, menjadikan mereka golongan paling miskin di Malaysia.

3 dari 4 keluarga yang berada dalam kategori ini (golongan paling miskin) adalah keluarga Melayu/Bumiputra.

34% dari pekerja Malaysia (dianggarkan seramai 4 juta orang) dibayar gaji kurang dari RM700 sebulan, iaitu bayaran dibawah paras kemiskinan.

2% dari jumlah RM39 bilion bayaran subsidi dan pampasan yang ditanggung kerajaan setiap tahun adalah subsidi kepada sektor korporat (penjana bebas, konsesi lebuhraya).

RM4 bilion adalah subsidi makanan (gula, gandum, beras) yang cuba ditarik balik kerajaan, berbanding RM19 bilion subsidi gas kepada penjana bebas dan RM4 bilion pampasan kepada konsesi lebuhraya setiap tahun.

RM19 bilion subsidi diberikan kepada penjana bebas milik kroni setiap tahun, berbanding hanya RM11 bilion subsidi minyak kepada rakyat yang cuba ditarik balik.

RM466 bilion hutang peribadi yang ditanggung oleh isi rumah rakyat Malaysia, paling buruk di Asia.

12 tahun berturut-turut kerajaan Malaysia mengalami belanjawan defisit.

57 anak tangga dalam senarai Laporan Pembangunan Dunia UNDP 2010 mengenai kadar pembangunan insaniah di dunia, jauh ditinggalkan Korea Selatan (12), Hong Kong (21), Singapura (27) dan Brunei (37).

68.7% sahaja rakyat Malaysia yang menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009, berbanding Korea Selatan (96.4%), Hong Kong (75.2%) dan Brunei (88.2%).

1 orang dari setiap 4 orang rakyat Malaysia tercicir dari pendidikan menengah dan tidak menamatkan pendidikan menengah antara tahun 2001 dan 2009.

29.7% sahaja rakyat Malaysia yang memasuki alam pendidikan tertiari, berbanding Korea Selatan (96.1%).

Saturday 25 December 2010

Al-Ustaz Sa'id Ramadhan bukan Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti

Memandangkan ramai yg terkeliru antara al-Ustaz Sa'id Ramadhan dan Syaikh Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti, maka saya ingin menceritakan serba sedikit tentang peribadi tokoh hebat ini.

al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah (1929-1995M = 1345-1416H)

al-Ustaz Sai'd Ramadhan (Abu Aiman) rahimahullah merupakan seorang ahli pidato dan pendakwah yg berasal dari Tanta, Mesir. Beliau ialah menantu kepada as-Syahid Imam Hasan al-Banna rahimahullah. Imam Hasan al-Banna telah mengahwinkan beliau dengan anak sulungnya. Beliau antara individu paling rapat dengan as-Syahid. Beliau juga merupakan pimpinan gerakan Ikhwanul Muslimin dan mempunyai jasa yg besar dalam perjuangan umat Islam di Palestin. Beliau ialah Setiausaha Peribadi kepada as-Syahid. Beliau ialah bapa kepada Prof Tariq Ramadhan, cendekiawan Islam terkenal dewasa ini.

Beliau ialah seorang pendakwah yg petah, berakhlak mulia, berjiwa tentera tapi mudah mengalirkan air mata, pidatonya mampu membuatkan sidang pendengar menangis. Beliau antara pemuda Ikhwan yg aktif di Kuliyah Huquq, Universiti Kaherah. Beliau juga mengepalai penerbitan Majalah as-Syihab yg diterbitkan secara bulanan oleh as-Syahid Hasan al-Banna pada tahun 1948.

Jangan terkeliru! Ini pula ialah Syaikh Prof Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buti hafizahullah. Seorang ulama besar dari negara Syria. Pengarang kitab Fiqh Sirah yg terkenal.


Jihad di Palestin

Beliau terlibat dalam jihad di Palestin bersama-sama Kataib Ikhwanul Muslimin. Pada tahun 1949, beliau menuju ke Baghdad setelah pulang dari Palestin, setelah pihak Mesir yg bekerjasama dengan penjajah Yahudi merancang untuk menangkapnya. Ikhwanul Muslimin Iraq telah menyambutnya dengan penuh kehormatan sebagai seorang mujahid dan pendakwah Ikhwan. Kerajaan Iraq diminta oleh Mesir supaya menyerahkan beliau ke negara asalnya. Kerajaan Iraq akhirnya bersetuju untuk tidak menyerahkan beliau dengan syarat beliau mesti keluar dari Iraq dalam waktu yg terdekat. Beliau merantau bersama al-Mustasyar Abdullah al-Aqil dari Baghdad ke Basrah dengan menaiki keretapi. Lalu dari Lapangan Terbang Basrah, beliau menaiki kapal terbang ke Pakistan. Mereka ditemani oleh seorang polis bagi memastikan mereka benar-benar berlepas keluar dari Iraq dan tidak tertinggal.

Kerajaan Mesir telah mencabut kewarganegaraannya lalu beliau terus hidup merantau. Raja Arab Saudi ketika itu, al-Malik Faisal telah memberikan kepadanya pasport khas untuk membolehkan beliau bergerak ke mana sahaja.


Sumbangan kepada Dunia Islam

Beliau ialah salah seorang pengasas Rabitah 'Alam Islami di Makkah. Beliau juga Setiausaha Agung al-Muktamar al-Islami lil-Quds. Beliau juga telah mengasaskan al-Markaz al-Islami di Geneva pada tahun 1961. Beliau juga membina markaz di London dan Munich pada tahun 1964. Beliau juga telah menerbitkan Majalah al-Muslimun sebagai ganti kepada Majalah as-Syihab. Antara tokoh-tokoh yg pernah berdampingan dengan beliau ialah as-Syahid Imam Hasan al-Banna, as-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi, Abul 'Ala al-Maududi, Dr. Mustafa Sibaie, Dr. Mustafa Zarqa dan Imam Muhammad Abu Zahrah.


Sa'id Ramadhan pada zaman mudanya


Nota an-Nadwi

As-Sayyid Abul Hasan an-Nadwi melalui kitabnya, Muzakkirat Saih fi as-Syarq al-'Arabi menceritakan tentang kehebatan al-Ustaz Sa'id Ramadhan rahimahullah. Setelah mengetahui bencana dahsyat yg melanda dunia Arab ketika itu, pengarang menyusun pertemuannya dengan tokoh-tokoh pejuang di sana khususnya Sa'id Ramadhan. Beliau suarakan hasratnya itu melalui al-Ustaz Soleh 'Ashmawi. Antara yg hadir sama dalam pertemuan itu ialah Syaikh Yusuf al-Qaradhawi, Muhammad ad-Damardash dan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil.

Pada petang esoknya, pengarang menghadiri syarahan Sa'id Ramadhan di Dewan Abdul Hamid Sa'id di Dar as-Syubban al-Muslimin di Kaherah. Syarahannya memakan masa 2 jam. Kehadiran sungguh membanggakan. Syarahan itu sesekali diselang seli dengan laungan takbir dan tahmid oleh audien yg hadir. Pada hari perbicaraannya di mahkamah iaitu 4 Februari 1951, mahkamah telah berubah menjadi dewan syarahannya. Beliau berbicara dengan bersemangat. Suasana mahkamah berubah menjadi suasana masjid. Mereka yg hadir menitiskan air mata mendengar kalamnya yg menusuk hati, mendengar satu demi satu ayat al-Quran dan Hadith yg dilafazkannya. Kata pengarang, "Kami keluar dari mahkamah dalam keadaan terharu dengan apa yg kami lihat dan apa yg kami dengar."


Hidup terbuang

Beliau menghabiskan kebanyakan hidupnya dalam buangan. Beliau juga enggan untuk pulang ke tanah airnya, Mesir setelah melihat pemerintahan negara itu yg bersilih ganti dengan pemerintah taghut. Pada tahun 1958, beliau berhijrah ke Geneva. Beliau memilih untuk hidup di negara barat bersama isterinya, Ummu Aiman dan anak-anaknya. Beliau telah dikurniakan 5 anak lelaki dan seorang anak perempuan. Beliau banyak menghabiskan masanya dengan membaca dan menulis. Beliau telah memperoleh PhD dalam Islamic Law di University of Cologne, Germany.


Kembali ke Rahmatullah

Beliau meninggal dunia pada 5 Ogos 1995. Sebenarnya, beliau bercita-cita untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan al-Baqi' di Madinah tetapi hasratnya ditolak oleh kerajaan Arab Saudi. Beliau akhirnya dikebumikan di tanah airnya, Mesir yg tidak dimasuki sejak 1954. Al-Fatihah!

______________

Rujukan:

Min 'Alam ad-Dakwah wa al-Harakah al-Islamiyyah al-Mu'asirah (ms 288-298), tulisan al-Mustasyar Abdullah al-'Aqil

http://www.ikhwanonline.com/

Terjemahan:

http://al-aman.blogspot.com/2010/11/al-ustaz-said-ramadhan-bukan-syaikh.html