Tuesday, 28 September 2010

Hedonisme - Masih ada jalan keluar

Assalamualaikum w.b.t.

Segala puji kita panjatkan kehadrat Allah s.w.t kerana dengan kurnianya dapat lagi kita mengecapi nikmat sebagai seorang Islam yang beriman kepadaNya. Sesungguhnya keislaman dan keimanan seseorang itu adalah satu karunia daripada Allah kepada hambanya yang terpilih. Agama Islam itu begitu indah sebenarnya. Indahnya Islam sehingga tiada satu apapun yang tidak diberi perhatian dalam Islam. Dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada perkara yang melibatkan permasalah masyarakat. Semuanya disentuh oleh Islam sebagai panduan untuk kejayaan di dunia mahupun di akhirat.

Semenjak akhir-akhir ini, Universiti Teknologi PETRONAS sentiasa diserikan dengan pelbagai program mahupun acara yang menarik perhatian ramai pihak. Kami daripada pihak Rakan Masjid UTP melihat perkara ini sebagai satu perkembangan yang positif kerana bukan sahaja kita mampu melahirkan pelajar-pelajar yang kreatif. Bahkan kita juga mampu untuk lebih terkehadapan sebagai satu insititusi pengajian tinggi swasta.



Walau bagaimanapun, pihak kami masih melahirkan rasa bimbang tentang penganjuran tiga kosert yang bakal berlansung tidak lama lagi iaitu Green Concert NGC, Music Pursuit dan kosert di tapak Convofair. Kami sebenarnya tidaklah menentang penganjuran program seperti ini kerana Islam sendiri tidak menghalang fitrah manusia untuk berhibur. Rasulullah sendiri dalam satu riwayat membenarkan para sahabat dan isterinya untuk mengalunkan irama muzik ketika menyambut perayaan tertentu. Oleh itu, Islam tidaklah menghalang fitrah manusia tetapi menawarkan jalan terbaik untuk berhibur.

Dr. Yusuf Qaradawi dan juga fatwa Majlis Fatwa Kebangsaan menetapkan bahawa muzik itu sifat asalnya harus didengar. Malah Dr. Yusuf Qaradawi turut menggariskan empat sebab muzik itu menjadi haram. Antaranya, melanggar tatasusila Islam, menyanyi atau menyampaikannya dalam bentuk syahwat dan berlenggang lenggok, nyanyian itu meninggalkan tanggungjawab utama seperti solat dan disertai oleh benda haram seperti minum arak dan pergaulan bebas lelaki dan perempuan yang bukan mahram.

Rakan Masjid UTP sebagai satu badan dakwah di UTP berbesar hati untuk duduk semeja dan berbincang dengan pelbagai pihak dalam menangani masalah ini. Kami terbuka dan sentiasa bersedia menawarkan pertolongan dalam memastikan setiap event menepati kehendak syariat Islam sekadar mampu. Kami sendiri pernah membantu jawatankuasa penganjur talent search dan euphonius sebelum ini dalam masalah seperti ini. Alhamdulillah, walaupun tidak banyak perubahan berlaku namun kesedaran yang mula timbul menunjukkan masih ada lagi ruang-ruang untuk penambahbaikan. Diharapkan pada masa hadapan, sinar dakwah seperti ini akan menjadi lebih harmoni. Justeru kami bersedia untuk melakukan sesi perbincangan dengan pihak Green Concert NGC, Music Pursuit dan Convofair demi kebaikan semua.



Sebagai pengakhirannya, Rakan Masjid UTP sekali lagi mengucapkan tahniah kepada semua jawatankuasa penganjur program-program di UTP kerana sama-sama berusaha dalam merealisasikan visi dan misi UTP. Kami juga menghargai segala kerjasama yang diberikan kepada kami selaku badan dakwah utama di universiti ini dan mengimpikan agar setiap darah yang mengalir dalam diri kita semua sentiasa diredhai oleh Allah s.w.t. akhir sekali, ingin kami tekan sekali lagi bahawa pihak Rakan Masjid tidak sesekali menghalang penganjuran konsert-konsert di UTP, dan kami bersikap amat terbuka dalam membincangkan sebarang isu yang berkaitan dengannya, demi memastikan kesuburan Islam di bumi UTP ini. Wallahua’lam.

Ketua Penerangan dan Perhubungan Awam,
Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS.

No comments: