Monday, 13 September 2010

Rayuan Buat Yang Berhutang Dengan Tok Guru Haji Abbas (http://fuadsyazwan.com/v1/)

Sudah banyak kali saya mendengar berita tentang tenatnya ruh Islam di SMKA Tok Jiring. Dan sudah lama juga saya memendam rasa, tidak menghebohkan perkara ini di khalayak umum, semata demi menjaga nama beberapa individu sambil berharap agar mereka dapat merubah diri sendiri tanpa perlu diberitahu.

Namun raya kali ini, peluang bertemu guru-guru yang masih di SMKA Tok Jiring, merubah sikap saya. Mendengar dengan telinga sendiri dari individu yang bergelumang dengan iklim SMKA Tok Jiring membuat jiwa saya rasa resah dan bimbang. Teruk benarkah sekolah saya ini?

Dan dari cerita-cerita yang didengar, begitulah jadi nya sekolah SMKA Tok Jiring sekarang. Boleh dikatakan tiada beza antara sekolah ini dengan sekolah lain. Gelaran SMKA, bumi Wakafan, cuma tinggal gelaran. Sudah jauh hanyut.

Cukup menyedihkan apabila mendengar kes-kes yang berlaku di sekolah melibatkan para pelajar. Ada yang ditangkap buat kerja tak senonoh dalam tandas, ada yang salin baju di surau sebelum keluar bersama lelaki, ada yang secara terbuka makan dengan alasan tidak boleh puasa, macam-macam. Bagaimana perkara sebegini boleh berlaku di SMKA? Sekolah yang sepatutnya melahirkan pelajar yang bersakhsiah? Yang mempunyai kesedaran agama?

Namun realitinya begitu lah.

Kepada siapa ingin dipersalahkan? Kepada siapa? Kepada guru yang tidak tahu mengajar? Kepada pelajar yang memang tidak berakhlak? Oh tidak. Saya rasa mereka tak patut dipersalahkan.

Kerana guru-guru yang ada di sana, adalah guru yang sama juga ada beberapa tahun lalu. Namun kenapa perkara jahanam begini hanya berlaku sekarang?

Pelajar pula? Dulu rasanya pelajar yang diterima sama saja dengan pelajar hari ini. Tidak logik jika mereka ingin dipersalahkan.

Saya berpendapat bahawa tanggung-jawab memastikan wujudnya iklim Diini di tanah wakafan ini terletak di bahu pihak pentadbir. Di sini lah terdapat beberapa kepelikan yang selalu saya dengar.

Sudah ramai guru-guru hebat yang keluar dari sekolah, mengajar di sekolah lain pula. Boleh dikatakan guru-guru yang masih ada, kebanyakannya adalah guru-guru yang baru, yang tiada pengalaman merasai iklim diini di sekolah bertuah ini.

Pihak petadbir seharusnya muhasabah diri kembali, siapa sebenarnya mereka. Adakah mereka berkuasa untuk menentukan sendiri arah tujuan sekolah ini? Apakah mereka begitu berkuasa untuk mencorakkan pelajar mengikut acuan mereka? Tidak, tidak sama sekali.

Perlu diingat, sekolah ini bukan sekolah baru. Yang dibina atas nama SMKA Tok Jiring. Tidak, ini sekolah yang kita warisi dari Pondok Tok Guru Haji Abbas. Tok Guru sudah menentukan haluan sekolah ini, iaitu haluan agama. Kenapa mesti lari dari haluan ini? Kenapa seolah seperti pihak pentadbir mengambil ringan soal ini? Sudah banyak guru yang komplen mengenai perubahan mendadak dalam iklim Diini di sekolah kita.

Apa sebenarnya tugas pihak pentadbir? Mereka seharusnya sedar bahawa mereka mewarisi sekolah ini dari Tok Guru, bukan dari Kementerian Pelajaran. Sekolah ini dibina atas tanah yang diwakaf oleh Tok Guru, bukan tanah milik Kementerian Pelajaran. Hasrat dan impian Tok Guru lah yang paling utama untuk dijayakan, bukan mengejar ranking.

Dan saya ingin menyeru, kepada anak-anak SMKATJ yang kini sudah berjaya, bergelar peguam, doktor, jurutera, cikgu dan sebagainya. Adalah menjadi tanggung-jawab kita juga untuk mengembalikan kegemilangan sekolah kita.

Apakah kita boleh berdiam diri melihat bagaimana ruh Islam SMKATJ terus dihancur robek? Apakah kita boleh duduk bersahaja tanpa rasa apa-apa tangung-jawab terhadap apa yang berlaku di sekolah kita?

Sudah tiba masa kita wujudkan kumpulan pendesak, kumpulan yang bertanggung-jawab memastikan sekolah ini terus berada di atas landasan yang betul, sebagaimana yang dikehendaki oleh Tok Guru Haji Abbas.

Ingat, sesungguhnya satu kesalahan yang sangat besar bagi kita untuk berdiam diri berlepas tangan dari mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba meruntuhkan ruh SMKATJ, secara sedar atau tidak.

Jika satu hari nanti runtuh SMKATJ, apa mahu kita jawab kepada Tok Guru Haji Abbas? Ingin menyalahkan orang lain?

Apa kita mahu jawab jika Tok Guru bertanya kepada kita, "KAMU BUAT APA DULU??"

Sedarlah wahai anak-anak permata SMKATJ. Sedarlah, sebelum terlambat!

Wallahua'lam.


by Fuad Syazwan Ramli
Monday, September 13, 2010 at 3:28pm

No comments: