Assalamualaikum w.b.t,
Segala puji kita panjatkan kehadrat Allah kerana masih lagi memberikan kita umur yang panjang untuk bersama-sama dalam meneruskan sesi pembelajaran selepas cuti panjang bagi meraikan Hari Raya Aidilfiti. Bagi pihak Rakan Masjid UTP, tidak terlambat kiranya mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf zahir dan batin kepada seluruh warga Universiti Teknologi PETRONAS dan juga kepada selurh pembaca Suara An-Nur ini.
Puasa yang dijalankan pada tahun ini begitu unik sebenarnya. Disamping kita berpuasa untuk cuba membebaskan diri daripada belenggu nafsu dan syaitan, Malaysia sendiri sebenarnya menyambut satu hari pembebasan selepas beratus tahun dijajah oleh kuasa lain. Perjuangan yang dibawa oleh pejuang-pejuang kemerdekaan ini sewajarnya tidak dilupakan begitu sahaja. Selepas beratus tahun dikuasai kita kembali berjaya memerintah negara sendiri mengikut acuan yang sepatutnya. Namun, beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan yang kita kembali dijajah. Walaupun tidak dijajah secara fizikal, kita sekarang dijajah dengan pelbagai bentuk serangan minda. Antaranya, fahaman berhibur secara melampau iaitu Hedonisme.
Hedonisme itu ringkasnya satu fahaman yang mementingkan kesukaan dan kemewahan dalam kehidupan tanpa menghiraukan larangan agama dan tatasusila. Hedonismelah yang melanda generasi belia kini. Ia menimbulkan kebimbangan negara terutama ketika Malaysia berhasrat menjadi negara maju. Berdasarkan sejarah, hedonisme berasal dari Eropah selepas zaman Ratu Victoria. Beliau yang fanatik dengan ajaran Kristian melarang segala perbuatan yang dianggap boleh menghina agama. Antara arahan yang dikeluarkannya ialah mewajibkan penggunaan penutup meja bertujuan menutup kaki meja. Kebanyakan kaki meja pada zaman itu mempunyai ukiran berbentuk kaki perempuan yang mengghairahkan. Oleh kerana perbuatan itu dianggap menghina perempuan dan bertentangan dengan agama, beliau mengeluarkan arahan supaya kaki meja ditutup menggunakan kain. Selain itu, pelbagai arahan dikeluarkan bagi menyekat kebebasan rakyat seperti larangan mengenai seks yang dianggap keterlaluan oleh masyarakatnya, hiburan dan sebagainya.
Selepas pemerintahan Ratu Victoria, keadaan mula berubah. Dengan itu bermulalah era dunia moden yang membenarkan semua amalan yang dulunya dilarang. Kebebasan itu menular di kalangan masyarakat hingga melampaui batas susila dan agama. Pergaulan bebas, hiburan yang melampau dan seumpamanya. Pemerintah turut menggalakkan pelbagai pesta secara besar-besaran. Hasilnya masyarakat hanyut dibuai hawa nafsu dan mengetepikan agama daripada kehidupan. Rakyat mula mengejar kepuasan nafsu semata-mata. Mereka sentiasa leka mencari kepuasan jasmani tanpa didasari asas pemikiran dan batas susila yang seharusnya dipelihara. Melalui perkembangan masa, pengaruh budaya itu kemudiannya menular ke negara lain di dunia termasuk negara ini.
Secara umumnya, hedonisme itu boleh dianggap neokolonialisme yang dikhususkan serangannya kepada generasi muda oleh Barat. Pelbagai konsep dan cara hidup seperti cara hidup ‘happy go lucky’, mengunjungi konsert hiburan, seks bebas dan sebagainya adalah termasuk dalam tabiat ini. Secara jelas, konsep yang dikemukakan itu hanya mementingkan kepuasan nafsu semata-mata. Budaya ini begitu cepat menular dalam kalangan remaja yang terpengaruh dengan keseronokan dan aktiviti yang dianggap dapat menghilangkan rasa bosan terutama remaja di Bandar besar. Dengan kemunculan pelbagai pusat hiburan yang tidak dikawal ketat, hedonisme merebak dengan pantas tanpa disedari mereka. Keadaan bertambah buruk apabila penyalahgunaan dadah begitu berleluasa. Selain itu, peningkatan kelahiran anak luar nikah dan kes pembuangan bayi adalah akibat gejala negatif di kalangan remaja yang terpengaruh dengan hedonisme.
Islam awal-awal lagi menolak gejala negatif ini. Ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad sewaktu fasa pertama dakwahnya di Makkah menekankan keburukan hawa nafsu dan menyeru manusia mengamalkan akhlak terpuji. Sewaktu Islam mula berkembang di tanah Arab, gejala buruk seperti minum arak, pelacuran dan berfoya-foya dalam kalangan masyarakat Arab Jahiliyah begitu ketara. Hanya selepas Islam bertapak kukuh perkara itu dapat dibendung. Islam juga mengajar penganutnya melakukan perkara yang berfaedah dan menjauhi perkara yang sia-sia dengan mengemukakan konsep semua perbuatan akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak. Malah dalam hadis yang diriwayatkan, Rasulullah bersabda yang bermaksud bahawa Islam itu adalah pekerti yang terpuji. Hadis itu dengan jelas mengajar umat Islam bahawa sebarang pekerjaan atau sikap yang bertentangan dengan nilai dan norma agama akan mendapat balasan seksaan di akhirat dan terkeluar dari ajaran agama.
Justeru, saya mewakili pihak Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS melahirkan rasa bimbang dengan situasi di kampus ini. Untuk makluman pembaca sekalian, sekurang-kurangnya tiga konsert hiburan akan diadakan pada bulan Oktober ini. Antaranya adalah konsert NGC, Music Pursuit dan juga konsert di tapak Convofair. Kami menyeru kepada semua pembaca agar sama-sama berfikir dan merenung kembali akan satu firman Allah:
Ketahuilah, bahwa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah- megah antara kamu serta berbangga-banggaan tentang banyaknya harta dan anak, seperti hujan yang tanam-tanamannya mengagumkan para petani; kemudian tanaman itu menjadi kering dan kamu lihat warnanya kuning kemudian menjadi hancur. Dan di akhirat (nanti) ada azab yang keras dan ampunan dari Allah serta keridhaan-Nya. Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. (Al Hadid:20)
Untuk akhirnya, marilah kita bersama-sama dalam membina biah solehah di kampus ini. Moga-moga Allah akan menolong orang yang memperjuangkan agamanya. Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri dan selamat berpuasa sunat enam hari di bulan Syawal. Wallahua’lam.
No comments:
Post a Comment