Assalamualaikum wbt.
Ilmu dan kemudahan itu ibarat dua sahabat dan dua saudara sekandung. Kunci kepada segala, kemudahan adalah ilmu. Lihat sahaja kehidupan para ulama’; ibadah mereka mudah dan tersusun rapi. Itulah hasil apabila berjaya menemui hakikat kepada ilmu.
Berbeza pula dengan para penzuhud yang ilmunya masih sangat dangkal. Mereka seperti seorang yang hidupnya tertekan dan menyeksakan. Mereka banyak mendengar perkataan-perkataan yang mereka tidak memahaminya dan masalah-masalah yang tidak difahami penyelesaiannya. Kaum khawarij juga menyimpang kerana permasalahan ini iaitu dangkal dalam memahami permasalah dan penyelesaian yang sebenar.
Oleh itu, carilah ilmu kerana ilmu menjadi penyuluh kehidupan. Diantara perkara yang dapat melegakan hati adalah ilmu yang banyak, pengetahuan yang melimpah dan wawasan yang luas. Orang yang berilmu juga semakin hampir dengan Allah kerana mereka mengetahui hakikat sebenar penciptaan.
Firman Allah:
… hamba-hamba Allah yang takut kepadaNya hanyalah orang-orang yang berilmu… (Fathir:28)
Justeru itu,banyakkanlah membaca. Membaca buku akan membuka wawasan kalbu, menghasilkan pelbagai hikmah, meningkatkan kemampuan berfikir, melancarkan lisan dan menghilangkan yang syubhat. Membaca buku adalah hiburan bagi yang menyendiri, teman bicara bagi yang berjaga malam dan kesenangan bagi orang yang merenung. Sebaliknya keengganan untuk mentelaah dan membaca menyebabkan hati mati, fikiran menjadi gersang, modal pengetahuan mejadi layu dan watak menjadi mati.
Hakikatnya, ilmu adalah sumber kepada pencerahan sesuatu tamadun. Lihatlah bagaimana Islam dapat membangun dengan gemilang semasa kerajaan Abbasiyyah. Bukankah kerana ianya datang daripada kecaknaan terhadap nilai sesuatu ilmu. Lihatlah juga, bagaimana Barat berjaya keluar daripada zaman gelapnya. Bukankah juga dengan ilmu pengetahuan.
Sesungguhnya seorang yang berilmu mempunyai dada yang lapang, hati yang tidak sempit, jiwa yang tenang dan wawasan yang luas. Terdapat sebuat syair yang berbunyi:
Ilmu akan bertambah dengan banyak diajarkannya,
Dan akan berkurang, jika terus dipendam begitu sahaja
Justeru, perkongsian sesuatu pengetahuan harus diperkasakan dan diperhebatkan lagi. Para ulama’ dan cendekiawan pada suatu ketika dahulu bersusah payah dalam menulis pelbagai kitab dan menterjemahkannya agar dapat dikongsi kepada seluruh umat manusia. Hal ini kerana, mereka memahami bahawasanya untuk menjernihkan minda dan menggerakkan hati manusia adalah dengan menambahkan ilmu pengetahun mereka.
Penghasilan pelbagai buku yang berbentuk peringatan dan ilmiah harus dipergiatkan lagi. Moga-moga dengan penghasilan buku-buku seperti ini, Allah memberi kefahaman kepada pembacanya untuk mendekatkan diri kepadaNya dan sanggup berjuang bersama-sama dalam jalan dakwah yang penuh liku ini. Hakikatnya, setiap ilmu yang dikongsi adalah untuk menyedarkan manusia bahawasnya tiada apa-apa yang tidak diketahui Allah dan mendekatkan diri kepada pencipta.
Akhir kalam, jauhkanlah keraguan dalam diri anda dengan menyelami lebih banyak ilmu kerana salah satu nikmat berilmu adalah kematangan dalam beribadah dan jadilah seorang yang kakinya berpijak di tanah tetapi cita-citanya tinggi di angkasa.
No comments:
Post a Comment