Sunday, 19 April 2009

Study Week

Buat mahasiswa UTP, percayakah atau tidak yang peperikasaan akhir akan bermula dalam 3 hingga 4 minggu sahaja lagi. Kalau kurang percaya, boleh check kalendar dalam telefon anda sekarang. Kalau tak ada boleh pinjam yang kawan.

Berapa minggu lagi yang tinggal? Bagaimanakah perasaan anda sekarang?

Bagi orang yang sudah bersedia dan sentiasa memberi fokus kepada pelajaran sudah semestinya anda tidak sabar-sabar dalam menghadapi peperiksaan akhir ini. Berlainan pula dengan yang belum bersedia, semestinya anda merasakan satu getaran dijiwa anda ketika ini. Bertenang dan jangan cepat panik. Masih ada masa.

Apa yang anda perlu lakukan selepas ini, adalah keluarkan satu kertas dan rancanglah masa anda dengan teliti supaya target anda pada semester ini dapat dicapai. \

Kepentingan Merancang

”Kebatilan yang dirancang mampu mengalahkan kebenaran yang tidak dirancang”

Kata-kata Saidina Ali ini memberi amaran kepada setiap individu Islam yang mengaku beriman kepada Allah untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi apa jua cabaran. Dalam konteks sebagai seorang pelajar, individu muslim mestilah sentiasa bermuhasabah diri untuk berjaya dalam bidang yang dipelajari. Teknik belajar perlu untuk diperkemaskan dan diperkukuhkan. Tanpa teknik belajar yang berkesan, pelajar akan menghadapi banyak masalah dalam pelajaran.

Pelajar selalu beranggapan yang belajar 24 jam sehari mampu menjadikan mereka seorang yang pandai manakala belajar hanya 2 jam sehari boleh menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran. Penulis ingin berkonsi pandangan mengenai perkara ini yang mana penulis berpendapat tidak semestinya belajar 24 jam sehari dapat menjadikan seseorang itu genius dan tidak semestinya juga belajar 2 jam sehari menyebabkan anda gagal dalam pelajaran. Kalau kita renungi kembali sirah perjuangan Rasulullah, kuantiti bukan penentu dalam kemenangan. Namun, strategi yang berkesan dan disiplin dalam perancangan memberi kejayaan yang besar kepada umat Islam dalam peperangan. Contoh yang terdekat adalah sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat dalam peperangan badar. Dalam peperangan tersebut 313 orang Islam berjaya menewaskan 1000 tentera kafir laknatullah.

Kesimpulannya disini, teknik belajar yang berkesan adalah jauh lebih penting daripada masa yang anda peruntukkan untuk belajar. Namun, sudah semestinya peruntukan masa yang banyak untuk belajar disusuli teknik belajar yang berkesan mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada setiap individu yang mempraktikkannya.

Put first thing first

‘The Seven Habit of Highly Effective People’ karangan Stephen R. Covey ada menyebut dan membincangkan secara terperinci mengenai tabiat ini. Buku yang telah mengalami terjemahan kepada berpuluh-puluh bahasa di seluruh dunia ini cukup signifikan buat diri kita semua dalam menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi

Dalam buku ini, Covey meletakkan tabiat ‘Put first things first’ sebagai tabiat yang ketiga selepas be proactive dan begin with the end in mind. Pepatah inggeris ada menyebut iaitu ‘first important priority’ manakala orang kita popular dengan kata-kata ‘utamakan yang lebih penting’. Dalam bahasa Arab pula, konsep ini dikenali sebagai aulawiyyat.

Dalam memahami konsep in bersama, suka saya bawakan satu analogi yang cukup ringkas untuk sama-sama kita fikirkan. Cuba anda bayangkan, didepan anda semua terdapat satu bekas yang berisi air manakala di luarnya pula batu-batu besar dan kecil serta pasir-pasir halus. Bagaimana caranya untuk memastikan kesemua muatan tadi dapat dimuatkan dalam bekas tersebut?”

Cara terbaik ialah kita masukkan batu-batu besar terlebih dahulu, kemudian batu-batu kecil dan seterusnya pasir-pasir yang halus. Sebaliknya, kalau kita utamakan pasir-pasir halus dahulu, kemudian batu-batu kecil dan seterusnya batu-batu besar sebagai ‘bahan terakhir’, maka kemungkinan beberapa batu besar akan tercicir kerana tak termuat.

Adakah kita terfikir, bagaimana sekiranya batu-batu besar yang tercicir itu ialah solat, membaca al-quran, mengulangkaji pelajaran, taat kepada ibu bapa, solat berjemaah, usrah, dan masa bersama keluarga? Manakala batu-batu kecil yang menjadi muatan awal itu pula ialah menonton televisyen, melepak, bermain game dan bersembang yang bukan-bukan? Bukankah itu satu kerugian yang nyata?

Persoalannya ialah, apakah yang menjadi keutamaan kita? GPA 4.0? Dean’s list? Study? Solat berjemaah? Menonton televisyen? Menghadiri konsert? Chatting? Couple? Marilah kita bermuhasabah sejenak dan merenung kembali apa keutamaan kita selama ini. Adakah pasir-pasir halus yang kadang-kadang langsung tak bernilai merupakan priority kita selama ini? Adakah keseronokan sementara lebih bernilai daripada kebahagiaan masa hadapan? Kepada yang sudah bekerja, adakah mendapat gaji yang banyak lebih penting daripada mendapat keredhaan Allah? Sila bertanya kepada diri, kemudian jawablah dengan jujur.

Jika anda ingin menikmati air batu campur, maka bahan-bahan asas seperti ais, susu dan sirap mestilah diutamakan. Kalaulah ketiadaan nata de coco, jagung dan nanas, maka ia tidaklah menjadi masalah. Kerana bahan yang terpeting dalam mebuat air batu campur adalah ais, susu dan sirap. “The absence of the others like ice cream, cherry and nata de coco is not a problem.”



Menyesal Kemudian Tiada Gunanya

:Masa adalah seperti pedang, sekiranya anda tidak memotongnya; ianya akan memotong anda::
:Masa itu emas:

Dua pepatah yang satunya daripada Arab dan satu lagi daripada bahasa ibunda kita sendiri memberi gambaran kepada betapa pentingnya pengurusan masa yang efektif. Bahkan dalam kamus orang Barat juga menggambarkan masa sebagai duit yakni gambaran kepada ketidak ternilaian nilai masa itu sendiri.

Pengurusan masa yang betul amat penting kepada mahasiswa pada detik-detik terakhir ini. Memilih jalan yang salah atau melakukan aktiviti yang tidak membawa kepada sebarang faedah mungkin boleh memberi kesan kepada keputusan akhir semester anda nanti.Tambahan pula, peningkatan GPA minimum daripada 2.5 kepada 2.7 pada semester ini memberi tekanan yang agak besar kepada setiap pelajar dalam mengelakkan daripada terpaksa mengulang semester mahupun berada dalam ”consequent management”. Buat seluruh mahasiswa UTP, kami di pihak Rakan Masjid mengharapakan anda sekalian berjaya dalam peperiksaan akhir semester yang akan kunjung tiba tidak lama lagi. Berjumpa lagi di semester depan dengan kejayaan anda. Wallahaua’lam.
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok(akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Hasyr :18)

Friday, 12 September 2008

Khutbah Rasulullah menjelang Ramadhan

Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kamu sekalian bulan Allah dengan membawa berkah, rahmat dan maghfirah (keampunan). Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya adalah hari-hari paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. saat demi saatnya adalah saat-saat paling utama. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakan-Nya. Di bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu adalah ibadah, amal-amalmu diterima, dan doa-doamu dimakbulkan. 

Bermohonlah kepada Allah Rabbmu,  dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah di bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan di hari Kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fuqara dan masakin. 
Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, eratkanlah tali persudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu dari apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan pendengaranmu dari apa yang tidak halal kamu mendengarnya. 

Kasihanilah anak-anak yatim, niscaya kamu akan dikasihi manusia. Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu karena itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih; 
Dia menjawab kepada hanba Nya ketika mereka menyeru-Nya, Dia menyambut hamba Nya,  ketika mereka memanggil-Nya, dan Dia mengabulkan  permintaan hamba Nya, ketika mereka berdoa kepada-Nya. 

Wahai manusia! 
Sesungguhnya diri-dirimu tergadai karena amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat karena beban (dosa)-mu, maka ringankanlah dengan memperpanjang sujudmu. Iaitu memperbanyakan solat sunat ( diantaranya solat sunat Tarawih).

Ketahuilah! Allah ta'ala bersumpah dengan segala kebesaran-Nya bahwa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang shalat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabbul 'Alamin. ( iaitu di hari kiamat  nanti).

Wahai manusia! 
Barangsiapa di antaramu memberi makanan untuk berbuka puasa kepada orang-orang mukmin yang berpuasa di bulan ramadhan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba sahaya, dan ia diberi ampunan atas dosa-dosanya yang lalu. 
(Sahabat- sahabat bertanya, " Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian." Rasulullah Menjawab Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya bersedekah dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu dari api neraka walaupun hanya   bersedekah  dengan  seteguk air. 

Wahai manusia! 
Barang siapa yang mempercantikkan akhlaknya di bulan ini ia akan berhasil melewati jambatan sirathal mustaqin,  yang  pada hari ketika itu, banyak  kaki-kaki tergelincir. 
Barangsiapa yang meringankan pekerjaan   pegawai atau pembantunya  atau  hambanya di bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan-Nya di hari Kiamat. 

Barangsiapa menahan keburukkannya di bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memuliakan anak yatim di bulan  ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-nya. 

Barangsiapa menyambungkan tali persudaraan (silaturahmi) di bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. 
Barangsiapa melakukan shalat sunat di bulan ini ( seperti solat sunat tarawikh) , Allah akan menuliskan baginya kebebasan dari api neraka. 
  
Barangsiapa memperbanyak shalawat kepadaku di bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya  pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa pada bulan ini membaca satu ayat Al-Qur’an, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Qur'an pada bulan-bulan yang lain. 

Wahai manusia! 
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar ia tak lagi pernah menguasaimu.   Ali bin Abi Thalib r.a. berdiri dan berkata,"Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama  di bulan ramadhan ini? " Jawab Baginda, “Ya abal Hasan! Amal yang paling utama di bulan ini adalah menjaga diri dari apa yang diharamkan Allah."

Tuesday, 2 September 2008

Segenggam Pasir dan Seikat Ranting



Bismillahhirrahmanirrahim.

Permulaan 3 Ramadhan begitu menggamit jiwa dan perasaan ini. Selepas sekian lama mencari satu sinar,akhirnya berjaya juga aku temui sebutir mutiara yang boleh digilapkan menjadi sebutir permata. Bukan hendak bermadah, cuma hati terasa pilu dan hiba mengenangkan nasib diri yang semakin hanyut ditelan arus semasa. Kalau dulunya, arus akan bergerak dari hulu ke hilir. Namun, arus dan aliran ombak kini tidak mengenal erti hulu dan hilir lagi. Menyerang dari semua arah dan menghancurkan apa-apa sahaja yang berada dihadapannya. Bilangan yang terkorban lebih banyak dari yang terselamat. Kalaupun terselamat, ramai yang semakin lemah dipukul ombak besar. Belum reda dengan ombak besar, datang pula taufan Katrina menghempas pantai. Bilangan korban semakin besar. Mangsa yang kehilangan tempat tinggal pula tidak tahu arah tuju dan destinasi. Mengharapkan bantuan dari PBB. Namun, harapan hanya tinggal kenangan sekiranya tiada tindakan diambil. Bersatu dalam mencari sinar. Bersama dalam menghadapi kesusahan.

Walaubagaimanapun, manusia makin mudah lupa. Lupa kepada tempat bergantung. Lalai dalam mengejar dunia. Alpa sehingga tidak sedar bahawa dunia makin sampai ke peghujungnya. Umat Islam ditindas bukan kerana lemahnya agama, tetapi kerana lemahnya ummat. Seikat dan sebatang ranting, mana satu yang mudah dipatahkan? Sebutir dan segenggam pasir, mana satukah yang memberi lebih kesakitan? Soalan yang mudah dijawab tetapi sukar difahami. Kalaupun ada yang memahaminya, tidak ramai orang yang mengambil pelajaran daripadanya. Justeru, dengan tertulis satu warkah ini harapnya dapatlah membakar semangat diri ini dan para pembaca untuk kita sama-sama mencari kembali jalan yang semakin menghilang itu. Bersatu dalam menegakkan kembali kalimah tauhid di atas muka bumi ini. Semoga dipermudahkan urusan. Harapan dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki. Berjumpa lagi dalam wacana seterusnya.

p/s: bodohnya manusia bukan kerana kelembapannya, tetapi kerana kemalasannya.