Sunday 19 April 2009

Study Week

Buat mahasiswa UTP, percayakah atau tidak yang peperikasaan akhir akan bermula dalam 3 hingga 4 minggu sahaja lagi. Kalau kurang percaya, boleh check kalendar dalam telefon anda sekarang. Kalau tak ada boleh pinjam yang kawan.

Berapa minggu lagi yang tinggal? Bagaimanakah perasaan anda sekarang?

Bagi orang yang sudah bersedia dan sentiasa memberi fokus kepada pelajaran sudah semestinya anda tidak sabar-sabar dalam menghadapi peperiksaan akhir ini. Berlainan pula dengan yang belum bersedia, semestinya anda merasakan satu getaran dijiwa anda ketika ini. Bertenang dan jangan cepat panik. Masih ada masa.

Apa yang anda perlu lakukan selepas ini, adalah keluarkan satu kertas dan rancanglah masa anda dengan teliti supaya target anda pada semester ini dapat dicapai. \

Kepentingan Merancang

”Kebatilan yang dirancang mampu mengalahkan kebenaran yang tidak dirancang”

Kata-kata Saidina Ali ini memberi amaran kepada setiap individu Islam yang mengaku beriman kepada Allah untuk mempersiapkan diri dalam menghadapi apa jua cabaran. Dalam konteks sebagai seorang pelajar, individu muslim mestilah sentiasa bermuhasabah diri untuk berjaya dalam bidang yang dipelajari. Teknik belajar perlu untuk diperkemaskan dan diperkukuhkan. Tanpa teknik belajar yang berkesan, pelajar akan menghadapi banyak masalah dalam pelajaran.

Pelajar selalu beranggapan yang belajar 24 jam sehari mampu menjadikan mereka seorang yang pandai manakala belajar hanya 2 jam sehari boleh menyebabkan mereka gagal dalam pelajaran. Penulis ingin berkonsi pandangan mengenai perkara ini yang mana penulis berpendapat tidak semestinya belajar 24 jam sehari dapat menjadikan seseorang itu genius dan tidak semestinya juga belajar 2 jam sehari menyebabkan anda gagal dalam pelajaran. Kalau kita renungi kembali sirah perjuangan Rasulullah, kuantiti bukan penentu dalam kemenangan. Namun, strategi yang berkesan dan disiplin dalam perancangan memberi kejayaan yang besar kepada umat Islam dalam peperangan. Contoh yang terdekat adalah sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w dan para sahabat dalam peperangan badar. Dalam peperangan tersebut 313 orang Islam berjaya menewaskan 1000 tentera kafir laknatullah.

Kesimpulannya disini, teknik belajar yang berkesan adalah jauh lebih penting daripada masa yang anda peruntukkan untuk belajar. Namun, sudah semestinya peruntukan masa yang banyak untuk belajar disusuli teknik belajar yang berkesan mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada setiap individu yang mempraktikkannya.

Put first thing first

‘The Seven Habit of Highly Effective People’ karangan Stephen R. Covey ada menyebut dan membincangkan secara terperinci mengenai tabiat ini. Buku yang telah mengalami terjemahan kepada berpuluh-puluh bahasa di seluruh dunia ini cukup signifikan buat diri kita semua dalam menghadapi peperiksaan akhir tidak lama lagi

Dalam buku ini, Covey meletakkan tabiat ‘Put first things first’ sebagai tabiat yang ketiga selepas be proactive dan begin with the end in mind. Pepatah inggeris ada menyebut iaitu ‘first important priority’ manakala orang kita popular dengan kata-kata ‘utamakan yang lebih penting’. Dalam bahasa Arab pula, konsep ini dikenali sebagai aulawiyyat.

Dalam memahami konsep in bersama, suka saya bawakan satu analogi yang cukup ringkas untuk sama-sama kita fikirkan. Cuba anda bayangkan, didepan anda semua terdapat satu bekas yang berisi air manakala di luarnya pula batu-batu besar dan kecil serta pasir-pasir halus. Bagaimana caranya untuk memastikan kesemua muatan tadi dapat dimuatkan dalam bekas tersebut?”

Cara terbaik ialah kita masukkan batu-batu besar terlebih dahulu, kemudian batu-batu kecil dan seterusnya pasir-pasir yang halus. Sebaliknya, kalau kita utamakan pasir-pasir halus dahulu, kemudian batu-batu kecil dan seterusnya batu-batu besar sebagai ‘bahan terakhir’, maka kemungkinan beberapa batu besar akan tercicir kerana tak termuat.

Adakah kita terfikir, bagaimana sekiranya batu-batu besar yang tercicir itu ialah solat, membaca al-quran, mengulangkaji pelajaran, taat kepada ibu bapa, solat berjemaah, usrah, dan masa bersama keluarga? Manakala batu-batu kecil yang menjadi muatan awal itu pula ialah menonton televisyen, melepak, bermain game dan bersembang yang bukan-bukan? Bukankah itu satu kerugian yang nyata?

Persoalannya ialah, apakah yang menjadi keutamaan kita? GPA 4.0? Dean’s list? Study? Solat berjemaah? Menonton televisyen? Menghadiri konsert? Chatting? Couple? Marilah kita bermuhasabah sejenak dan merenung kembali apa keutamaan kita selama ini. Adakah pasir-pasir halus yang kadang-kadang langsung tak bernilai merupakan priority kita selama ini? Adakah keseronokan sementara lebih bernilai daripada kebahagiaan masa hadapan? Kepada yang sudah bekerja, adakah mendapat gaji yang banyak lebih penting daripada mendapat keredhaan Allah? Sila bertanya kepada diri, kemudian jawablah dengan jujur.

Jika anda ingin menikmati air batu campur, maka bahan-bahan asas seperti ais, susu dan sirap mestilah diutamakan. Kalaulah ketiadaan nata de coco, jagung dan nanas, maka ia tidaklah menjadi masalah. Kerana bahan yang terpeting dalam mebuat air batu campur adalah ais, susu dan sirap. “The absence of the others like ice cream, cherry and nata de coco is not a problem.”



Menyesal Kemudian Tiada Gunanya

:Masa adalah seperti pedang, sekiranya anda tidak memotongnya; ianya akan memotong anda::
:Masa itu emas:

Dua pepatah yang satunya daripada Arab dan satu lagi daripada bahasa ibunda kita sendiri memberi gambaran kepada betapa pentingnya pengurusan masa yang efektif. Bahkan dalam kamus orang Barat juga menggambarkan masa sebagai duit yakni gambaran kepada ketidak ternilaian nilai masa itu sendiri.

Pengurusan masa yang betul amat penting kepada mahasiswa pada detik-detik terakhir ini. Memilih jalan yang salah atau melakukan aktiviti yang tidak membawa kepada sebarang faedah mungkin boleh memberi kesan kepada keputusan akhir semester anda nanti.Tambahan pula, peningkatan GPA minimum daripada 2.5 kepada 2.7 pada semester ini memberi tekanan yang agak besar kepada setiap pelajar dalam mengelakkan daripada terpaksa mengulang semester mahupun berada dalam ”consequent management”. Buat seluruh mahasiswa UTP, kami di pihak Rakan Masjid mengharapakan anda sekalian berjaya dalam peperiksaan akhir semester yang akan kunjung tiba tidak lama lagi. Berjumpa lagi di semester depan dengan kejayaan anda. Wallahaua’lam.
Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok(akhirat), dan bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Mahateliti terhadap apa yang kamu kerjakan. (Surah al-Hasyr :18)

1 comment:

Marwan Bukhari said...

salam akh,
hehe, dah post artikel ye, aktivis rakan masjid..
semoga mendapat kejayaan dlm imtihan yg dihadapi..
"hanya org yg sibuk [andai mengurus masa.."
keep in touch.. luv u