DARIPADA: Harith Hasyimi bin Hishamudin
KETUA PENERANGAN DAN PERHUBUNGAN AWAM, RAKAN MASJID
Mereka bertanya kepadamu tentang khamar dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya." Dan mereka bertanya kepadamu apa yang mereka nafkahkan. Katakanlah: " Yang lebih dari keperluan." Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu supaya kamu berfikir. [ Al-Baqarah: 219 ]
Al-Quran secara jelas telah mengharamkan judi. Tiada pertelingkahan pendapat dalam pengharaman judi dalam kalangan ulama’ kerana hukumnya yang jelas (qat’ie). Walaupun dalam ayat surah al-baqarah ada menerangkan tentang beberapa manfaat bagi manusia, namun, kemudharatan yang lebih besar menjadikan judi adalah haram dari segi hukumnya.
Berkaitan dengan isu terbaru negara yang hangat dibincangkan dalam beberapa minggu ini, iaitu isu yang berkaitan dengan lesen judi yang dikeluarkan kerajaan kepada Berjaya Group sempena bola sepak Piala Dunia yang akan berlangsung nanti. Kami dari pihak Rakan Masjid Universiti Teknologi PETRONAS (RMUTP) mewakili suara mahasiswa melihat tindakan kerajaan meluluskan lesen judi bola baru-baru ini sebagai satu langkah yang tidak bijak dan harus diubah. Kami membantah sama sekali tindakan tersebut kerana sama sekali bertentangan dengan syariat Allah s.w.t.
Menyingkap fakta pendapatan cukai judi negara pada tahun 2009; kerajaan Malaysia mencatat kutipan yang rendah iaitu RM 1.199 bilion berbanding pada tahun 2008 dimana kerajaan berjaya mengutip RM 2.32 bilion. Kerajaan mengunakan defisit ini sebagai salah satu faktor bagi memberikan kelulusan untuk menjual tikel judi bola sepak piala dunia tahun ini dengan harapan mereka boleh mendatangkan hasil cukai yang tinggi. Mungkin apa yang direncanakan kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara ada positifnya, namun kesan negatif dan masalah yang akan timbul lebih banyak daripada kebaikannya. Yang pastinya, hukum judi adalah haram.
Pelbagai lapisan rakyat dan organisasi tidak kira bangsa dan usia menentang keputusan ini tetapi kerajaan masih tidak bersuara. Mufti-mufti dan Menteri Agama juga seperti tidak memainkan peranan. Kami mewakili suara mahasiswa mengharapkan agar pihak yang terbabit agar lebih keras bersuara demi memastikan agama Islam sebagai agama rasmi Malaysia tidak tercemar. Kami bimbang anak-anak muda akan mula berjinak-jinak dengan judi yang dihalalkan ini. Mahukah kita melihat masa depan negara yang tercinta ini hancur?
Bayangkan sekiranya gejala judi ini menular sebagaimana gejala melihat pornografi di internet. Disini, disertakan statistik jumlah pengunjung laman web pornografi. Pengunjung pada setiap saat 28,258 orang. Setiap bulan pengunjung yang melayari web pornografi 72 juta orang. Jumlah keseluruhan adalah sebanyak 864 juta setiap tahun. Bayangkan gejala judi ini menular dalam kalangan anak muda, berapa banyakkah pula akan terpengaruh.
Kami juga tertarik dengan isu seorang ahli Parlimen yang dikenankan hukuman kerana tidak melapor kepada mahkamah tentang perkahwinan poligami bersama seorang artis. Kemungkinan besar ahli Parlimen ini akan meringkuk dalam penjara selama sebulan. Sebagai akhirnya, kami melihat begitulah hakikat demokrasi di mana poligami yang sah di sisi Islam telah dijadikan satu kesalahan dan mesti dihukum jika dilakukan tanpa izin mahkamah. Manakala judi yang jelas-jelas haram di sisi Islam, dibolehkan, dibenarkan dan dihalalkan.
Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah,adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan. Sesungguhnya syaitan itu bermaksud hendak menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu lantaran (meminum) khamar dan berjudi itu, dan menghalangi kamu dari mengingat Allah dan sembahyang; maka berhentilah kamu (dari mengerjakan pekerjaan itu). [AlMaidah:90-91]