Friday, 5 September 2008

Benarkah ia???? Satu realiti...



Alhamdulillah,
Pertama kali menjejakkan kaki ke UTP merupakan kenangan dan ingatan yang memang tidak dapat dilupakan. Bukan kerana kemegahan UTP sebagai sebuah universiti terkemuka, tetapi kerana berjaya menamatkan pelajaran di bangku persekolahan yang penuh dengan peristiwa yang menyentuh hati. Bermula dengan tragedi kehilangan sahabat di Pantai Merang sehinggalah kejayaan yang agak cemerlang dalam pelajaran. Namun, semua itu hanyalah episod sampingan dalam sebuah cerita yang cukup panjang. Perubahan hidupku. Mengenal erti menganut agama. Mula berjinak dalam usrah dan pelbagai perkara lagi yang mencorakkan kehidupan ini sebagai seorang muslim.


Sedangkan air pasang dan surut, apatah lagi hati dalam mengungkapkan seribu rasa. Kalau permulaanya, kehidupanku di SMKATJ dipenuhi dengan intan dan permata. Tapi, selepas beberapa seketika, permata bertukar menjadi kaca. Permulaan yang cukup indah, tetapi sayangnya ia tidak kekal lama. Hati semakin berkarat. Jiwa semakin kusam. Diri semakin hanyut. Namun, pencarian iman masih berlangsung. Keikhlasan dan kepentingan diri silih berganti. Dengki menguasai diri. Serangan peribadi dilancarkan. Peperangan mula berlangsung. Walaupun dalam keadaan yang tidak dapat dilihat, bahangnya mula terasa.


Penyertaan dalam MPP. Dari sebuah niat bertukar menjadi sebuah plot yang cukup menarik. Percaturan dan strategi menjadi pedang dan kehebatan diri menjadi perisai. MPP pula menjadi medan pertarungan. Pertarungan berlaku. Selepas sekian lama pertarungan berlangsung, pedang semakin tumpul. Perisai diguna menggantikan pedang yang tumpul untuk menyerang. Pertarungan semakin sengit. Ramai yang tewas. Akhirnya diri ini juga tercedera. Permulaanya sekadar cedera ringan menjadi parah akibat perisai yang sepatutnya menjadi perlidungan digunakan untuk menyerang. Keadaaran diriku semakin tenat. Pedang yang pada permulaanya menjadi senjata yang menggerunkan, kini hilang entah ke mana.


Begitulah keadaan hidupku sebagai seorang MPP di SMKATJ. Begitu gersang. Permulaanya yang penuh dengan pecaturan, berakhir dengan perebutan kuasa yang bersifat peribadi. Dengki dan dendam menguasai diri. Bukan bermaksud hatiku tidak ikhlas dalam melakukan kerja, namun, populariti diganti sebagai tujuan. Mungkin niat yang diletakkan pada permulaannya tidak cukup kuat. Ataupun, senjata yang digunakan tidak cukup tajam. Menyebabkan keikhlasan bersilih ganti. Namun, satu yang kusedari selepas keluar dari medan peperangan. Rupanya bekalan makanan ku belum mencukupi. Ilmuku masih belum mencukupi. Kebergantungan aku kepada Allah juga terlalu lemah. Itulah kesilapanku.


Selepas sekian lama, aku kini tersedar. Mula membangunkan orang sekeliling yang masih lena dalam mimpi. MPP bukan untuk mencari populariti tetapi medan untuk menabur bakti. Selagimana bergelar seorang pemimpin, amanah harus dipegang. Tanggungjawab perlu dipikul. Jangan biarkan kepentingan peribadi menguasai diri. Jadilah seperti Saidina Umar. Meninggalkan makanan lazat hanya kerana tidak kesemua rakyat yang dibawahnya dapat merasa makanan tersebut. Tidak meletakkan pangkat dan kuasa sebagai perhiasan. Tetapi anggaplah ia sebagai seorang anak. Sanggup melakukan apa-apa sahaja demi anak tersebut.


p/s: Pandai bekata-kata satu kelebihan, tetapi ianya juga satu keburukan.

No comments: